24 May 2016


Tarikh : 16 Mei 2016
Masa : 7.20 - 11.05
Tempat : SK Pangkalan TLDM 1

Sambutan Hari Guru di SK Pangkalan TLDM 1 tahun 2016 disambut dengan tema 'Kesultanan Melayu' sempena dengan ulangtahun Pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak Ke-35 iaitu 10 hari sebelum hari guru.

Tema ini juga mendapat undian tertinggi dikalangan guru-guru dalam mesyuarat khas yang dianjurkan oleh Kelab Guru dan Kakitangan SKPTLDM1.

Pada hari sambutan memperlihatkan 55 Orang guru sesi pagi masing-masing berpakaian tradisional Melayu dalam menghayati kehidupan pada zaman kesultanan Melayu. Murid-murid begitu teruja dengan kelainan yang dibawa oleh guru-guru dan menghayati kehidupan masyarakat melayu beserta pakaian tradisi satu ketika dahulu.


Selain daripada itu, murid juga terpesona dengan gimik perasmian apabila terdapat adegan pertarungan diantara Tuah dan Jebat dalam menyelamatkan watikah perasmian hari guru bagi tahun ini. Suasana gamat ini menerapkan nilai murni betapa pentingnya kita sebagai rakyat menghargai pemimpin dan menyelamatkan apa yang diperlukan untuk meneruskan kelangsungan keamanan negara. Di dalam pertarungan ini, jebat tewas di tangan Tuah dan watikah perasmian dapat diserahkan kembali kepada Tuan Guru Besar En.Ramlan Bin Hussin yang membawa watak Sultan.




Tema ini adalah tema kali pertama yang dilakukan di SK Pangkalan TLDM 1 dalam mencari kelainan kepada murid-murid yang sentiasa melihat guru hanya memakai pakaian pejabat dan pakaian persatuan saban tahun. Ternyata kelainan ini membawa semangat luar biasa bukan sahaja kepada guru malah murid itu sendiri apabila terdapat juga murid yang menyertai tema pakaian dengan dorongan ibu bapa.

Majlis sambutan berakhir pada jam 11.05 pagi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran diteruskan seperti biasa selepas ini. Dalam menyambut hari guru, pelajaran murid tetap diutamakan dalam apa juga aktiviti yang dilakukan. Selamat Hari Guru, Guru Pembina Negara Bangsa.

Video gimik boleh dilihat di laman youtube melalui pautan berikut :


Artikel Popular